Wednesday, August 15, 2012

ARAHAN AMALAN BIL. 2 TAHUN 2012 : (KANUN TATACARA JENAYAH (PINDAAN) 2010 & KANUN TATACARA JENAYAH (PINDAAN) 2010 (PINDAAN) 2012

Salinan Arahan Amalan di atas boleh cut & paste:

http://www.scribd.com/doc/102916836?secret_password=218o0cy0jcxlhb0g45wd


ARAHAN AMALAN BIL. 2 TAHUN 2012
(KANUN TATACARA JENAYAH (PINDAAN) 2010 & KANUN TATACARA JENAYAH (PINDAAN) 2010 (PINDAAN) 2012

Selaras dengan pindaan Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) yang dibuat pada tahun 2010 dan 2012, saya telah diarahkan oleh YAA Ketua Hakim Negara untuk memaklumkan YA Datuk / Dato’ / Datin / Tuan / Puan supaya mengambil maklum akan beberapa perkara yang berbangkit daripada pindaan tersebut. Perkara-perkara tersebut adalah sepertimana berikut :

Di dalam Arahan Amalan ini mana-mana perkataan “Hakim” adalah merujuk kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret.

A) Rundingan Pra-Perbicaraan

1) Kes-kes yang didaftarkan pada atau selepas 1 Jun 2012 hendaklah melalui proses rundingan pra-perbicaraan di bawah seksyen 172A KTJ. Bagi kes-kes yang didaftarkan sebelum 1 Jun 2012 dan perbicaraan masih belum bermula, Mahkamah masih boleh membenarkan rundingan pra-perbicaraan dijalankan jika ada permohonan. Walau bagaimanapun permohonan untuk mengadakan rundingan pra-perbicaraan tersebut tidaklah boleh dijadikan alasan bagi penangguhan perbicaraan jika suatu tarikh perbicaraan telah ditetapkan.

2) Memandangkan pihak Mahkamah tidak terlibat di dalam rundingan tersebut, Mahkamah perlulah mendapatkan maklumat mengenai tarikh rundingan pra-perbicaraan daripada pihak pendakwaan atau pembelaan bagi membolehkan penetapan tarikh pengurusan kes kelak.

3) Untuk tujuan rundingan pra-perbicaraan, Mahkamah tidak akan mengeluarkan perintah Order to Produce (OTP) bagi orang kena tuduh (OKT) yang berada dalam reman.

B) Pengurusan Kes

1) Mahkamah hendaklah menetapkan tarikh pengurusan kes dalam tempoh 60 hari dari tarikh OKT dituduh dan minta dibicarakan.

2) Hakim hendaklah menjalankan sendiri sesi pengurusan kes sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 172B (1) KTJ. Pengurusan kes hendaklah diadakan di mahkamah terbuka dengan kehadiran pihak pendakwaan, OKT dan peguambela jika OKT diwakili.

3) Bagi sesi pengurusan kes pertama yang mana OKT tidak diwakili, Hakim adalah dinasihatkan untuk mematuhi peruntukan perenggan 172B (2)(iii) KTJ terlebih dahulu iaitu dalam hal membantu OKT mendapatkan khidmat peguam, termasuklah memaklumkan kepada OKT mengenai khidmat peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum melaksanakan tugas di bawah perenggan 172 b(ii).

4) Tiada had bilangan penetapan pengurusan kes bagi sesuatu kes. Namun begitu Hakim hendaklah mengadakan pengurusan kes yang terakhir dua (2) minggu sebelum tarikh bicara.

5) Bagi kes-kes yang tidak dapat ditetapkan tarikh bicara atas alasan pengurusan kes masih belum selesai, Hakim boleh menggunakan budibicara kehakiman masing-masing untuk membuat sebarang arahan yang munasabah bagi membolehkan tarikh bicara dalam tempoh 90 hari ditetapkan sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 172B (4) KTJ.

6) Bagi tujuan penyeragaman dan memenuhi kehendak peruntukan di bawah subseksyen 172B (6) KTJ, Mahkamah bolehlah menyerahkan Borang sepertimana di Lampiran A untuk kegunaan pihak-pihak.

C) Rundingan Akuan

1) Terdapat dua jenis rundingan akuan iaitu :
(a) rundingan akuan berkaitan pertuduhan dan
(b) rundingan akuan berkaitan hukuman.

2) Rundingan akuan boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu rundingan akuan ketika rundingan pra-perbicaraan (perenggan 172A (4)(f) dan perenggan 172B (2)(i) KTJ) dan rundingan akuan yang dibuat oleh OKT melalui Borang 28A pada bila-bila masa sebelum perbicaraan bermula (seksyen 172C KTJ).

3) Dalam kedua-dua keadaan tersebut, Mahkamah hanya berperanan untuk menentukan rundingan akuan tersebut dibuat secara sukarela.

4) Bagi rundingan akuan semasa rundingan pra-perbicaraan yang dinyatakan di bawah perenggan 172B (2)(i) KTJ yang merujuk kepada tatacara rundingan akuan di bawah seksyen 172C KTJ, hanya tatacara berkaitan dengan penentuan sesuatu rundingan akuan dibuat secara sukarela di bawah seksyen 172C sahaja yang terpakai.

5) Bagi rundingan akuan yang dibuat melalui permohonan menggunakan Borang 28A, Mahkamah hendaklah menetapkan satu tarikh pendengaran. Bagi tujuan penyeragaman, penetapan tarikh dibuat dengan menggunakan Borang sepertimana di Lampiran B.

6) Jika Mahkamah mendapati rundingan akuan tersebut dibuat secara sukarela dan pihak OKT serta pihak pendakwaan telah mencapai persetujuan untuk pelupusan kes yang memuaskan, satu Borang Pelupusan Kes Yang Memuaskan (subseksyen 172C (7) KTJ) hendaklah ditandatangani oleh semua pihak termasuk Mahkamah. Bagi tujuan penyeragaman, Borang Pelupusan Kes Yang Memuaskan adalah sepertimana di Lampiran C.

7) Apabila Mahkamah mendapati tiada pelupusan kes yang memuaskan dicapai di antara OKT dan pendakwaan [subseksyen 172C (8) KTJ], Mahkamah hendaklah merekodkan pemerhatian yang dibuat dan kes tersebut hendaklah ditetapkan untuk bicara di hadapan Hakim yang lain. Sebelum tarikh bicara ditetapkan, satu tarikh sebutan hendaklah ditetapkan. Dalam tempoh tersebut, Mahkamah berkenaan hendaklah menghantar maklumat/status mengenai kes tersebut kepada Hakim Besar Malaya/Hakim Besar Sabah dan Sarawak (bagi kes Mahkamah Tinggi) atau Pengarah Mahkamah Negeri masing-masing (bagi kes Mahkamah Rendah) untuk mendapatkan arahan penggantian Hakim. Bagi tujuan penyeragaman, maklumat / status kes hendaklah dihantar dengan menggunakan Borang di Lampiran D melalui emel / faks dan disimpan dalam fail mahkamah.

D) Panduan Hukuman Bagi Rundingan Akuan

1) Jika OKT mengaku salah sebelum perbicaraan atas tuduhan asal, cadangan hukuman adalah seperti berikut :

Hukuman Hukuman Rundingan Cadangan
Akuan tidak melebihi Hukuman

a. 30 tahun 15 tahun 10-15 tahun
b. 20 tahun 10 tahun 7-10 tahun
c. 14/15 tahun 7 / 7 ½ tahun 5-7,5-7 ½ tahun

d. Di mana hukuman penjara tidak mandatori dan hukuman yang boleh dikenakan adalah tidak melebihi 10 tahun, tempoh yang boleh dicadangkan adalah daripada satu hari hingga separuh daripada tempoh hukuman yang boleh dikenakan.

e. Di mana hukuman penjara adalah mandatori, hukuman yang hendak dicadangkan adalah tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman yang boleh dikenakan.

f. Di mana hukuman penjara mandatori minimum dan hukuman denda maksimum diperuntukkan, hukuman yang hendak dicadangkan adalah penjara antara minimum hingga separuh daripada hukuman maksimum dan satu per empat (¼) hingga separuh (½) daripada hukuman denda maksimum atau jumlah denda yang boleh dikenakan ditetapkan atas persetujuan kedua-dua pihak.

g. Tertakluk kepada peruntukan seksyen 172D(1)(a), (b) dan (c) KTJ, di mana hukuman penjara dan denda adalah tidak mandatori dan tiada tempoh minimum penjara dan tiada denda maksimum/minimum diperuntukkan, kedua-dua pihak boleh bersetuju berkenaan hukuman yang boleh dikenakan.

h. Di mana hukuman penjara tidak mandatori tetapi denda minimum dan maksimum diperuntukkan, hukuman yang dicadangkan ialah denda di antara minimum hingga separuh.

2. Walau apapun cadangan hukuman di atas, mahkamah masih mempunyai budibicara untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal selaras dengan prinsip -prinsip penghukuman yang ada.

E) Pengakuan Bersalah Okt Semasa Perbicaraan

1. Apabila OKT mengaku salah pada mana-mana peringkat selepas perbicaraan bermula, peruntukan s.172G KTJ tidak terpakai.

F) Proviso di bawah perenggan 173 (m) KTJ

1. Mahkamah hendaklah mengambil kira kenyataan mengenai impak kesalahan ke atas mangsa sekiranya terdapat permohonan daripada mangsa atau keluarga mangsa sebelum menjatuhkan hukuman. Tiada sebarang penangguhan kes boleh di berikan hanya di atas alasan ketiadaan pernyataan secara lisan atau bertulis mangsa atau keluarga mangsa.

Arahan Amalan ini berkuat kuasa mulai serta merta.

No comments: