Tuesday, July 7, 2009

Latihan Dalam Kamar - Satu Enigma (Bhg. 1)

Latihan Dalam Kamar – Satu Enigma (Bahagian Pertama).

Seperti peguam-peguam lain yang mengamal di dalam negeri Terengganu, aku juga perlu menjalani Latihan Dalam Kamar atau ‘Chambering’ selama sembilan bulan yang penuh dengan cabaran, kepayahan dan pengalaman yang tidak ternilai.

Ini adalah cerita aku.



Sebaik sahaja aku habis menjalani peperiksaan akhir di tahun akhir aku di Universiti, aku tak berapa hiraukan sangat untuk mendapatkan tempat bagi menjalani latihan dalam kamar kerana sebenarnya aku tak mahu menjadi terlebih yakin bahawa aku mampu menghabiskan pengajian selama empat tahun cukup. ‘Grad on time’ istilah ketika itu. Separuh kawan-kawan yang masuk satu ‘batch’ dengan aku terpaksa mengulang tahun. Hanya separuh yang tinggal termasuk aku.

Lepas peperiksaan, apa lagi? Balik kampung dan lepak agung. Tidur, bangun, makan nasi mak tanak dan tidur semula sambil tambah lemak.

Selepas lebih kurang dua bulan, aku menerima surat daripada Fakulti dan memaklumkan bahawa aku telah berjaya menghabiskan pengajian.Ketika itu, gembira bukan kepalang kerana usaha yang gigih terbalas jua akhirnya.

Tak kisahlah dapat kelas berapa.

Janji ‘grad on time’.

Masa itu, aku cuba telefon kawan-kawan. Mana yang gagal, terpaksa mengulang dalam peperiksaan semula ketika cuti. Mana yang berjaya, sudah mula mencari tempat untuk membuat Latihan Dalam Kamar. ‘Batch’ aku, cuma aku dan Rosnah daripada Terengganu. Yang lain semua berada di negeri lain.

Aku hidupkan enjin motor Honda Fame buruk aku dan aku tuju ke pejabat Asmadi, Azmi & Associates. Aku cari Mazlan sebab hanya dia senior aku yang menjadi peguam di Kuala Terengganu. Peguam dari satu universiti yang lebih senior adalah rakan kongsi di situ, tapi aku segan.

Melalui Mazlan, kami cuba mengubungi beberapa firma yang mempunyai kelayakan untuk mengambil pelatih dalam kamar. Malangnya, kesemua firma yang dihubungi menyatakan bahawa tiada tempat untuk aku kerana hampir kesemua pelatih yang ada ketika itu, masih belum manghabiskan tempoh sembilan bulan ‘chambering’ mereka.

Tiada tempat untuk aku di Kuala Terengganu.

Aku sudah jadi risau. Semua kawan-kawan sudah mulakan ‘chambering’ mereka. Semua sudah tak sabar-sabar nak jadi ‘lawyer’.

Aku? Aku masih di rumah mak dan asyik dok tambah lemak. ‘Resume’ semua sudah dihantar ke firma-firma di Kuala Terengganu tapi malangnya, langsung tiada jawapan dari mereka. Belum ada rezeki lagi.

Suatu hari, aku bulatkan hati dan nekadkan diri. Aku dah bosan menanti. Alih-alih, nanti aku jugak yang susah hati.

Petang itu juga aku poskan motor aku naik lori.

Apa nak jadi pun, jadilah.

Malam itu, aku naik bas ekspress ke Kuala Lumpur.

Di ibu kota, aku menjelajah dari satu firma guaman ke satu firma guaman. Berbekalkan senaskah ‘resume’, berkemeja putih dan bertali leher. Kasut hitam cuma stokin sukan. Satu Kuala Lumpur aku redah.

Firma yang besar-besar aku tak pergi sebab rasa macam tak kena sahaja dengan gaya aku ketika itu. Aku cuma menjelajah masuk ke firma-firma kecil sekitar Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan sekitar Dataran Merdeka.

Malang bagi aku, satu pun tak sangkut.

Kebanyakannya sekadar berkata ; ‘Don’t call us, we will call you’.

Ada firma yang semasa temuduga bertanya ; ‘Do you own a car?’

Aku kata dalam hati, ‘mak aii..belum pun kerja loyar dah kena ada kereta ke?’

Tiga empat hari aku ke sana dan ke sini. Aku akhirnya ‘give up’. Mungkin bukan rezeki aku gamaknya.

Melepak di rumah sewa kawan yang belum habis pengajian akibat mengulang, aku bangun, tidur dan aku tidur, bangun. Satu hari, kawan aku naik bosan. Dia balik dari kuliah dan aku baru bangun dari tidur dengan mata yang masih mamai.

Dia kata ; ‘ get a LIFE! man..’

Dia mencadangkan supaya aku tolong dia sepenuh masa.

Menjual t-shirt.

Bermula hari itu, aku menjadi seorang pengusaha t-shirt yang tak bergaji. Kerja aku banyak berulang dari rumah sewa ke samada Central Market atau pun Kampung Baru, di mana t-shirt dicetak.

Aku sibuk dengan t-shirt sehinggalah tiba hari konvokesyen. Mak dan arwah ayah datang tengok aku mengambil segulung ijazah. Pakai tali leher dan baju kot dalam jubah.

Kasut hitam tapi masih stokin sukan.

Malam sebelum konvokesyen, aku masih sibuk di tapak pesta berhampiran Dewan Canselor. Dalam khemah yang kami sewa. Menjual t-shirt macam-macam warna.

Esoknya, jumpa kawan-kawan dan semua asyik bercerita tentang ‘chambering’ yang mereka sedang jalankan. Ketika beratur untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Azlan untuk mengambil segulung kotak bulat bewarna biru yang menjadi tanda bahawa aku sudah tamat dari jadi budak U. Aku bersembang dengan Rosnah yang ‘chambering’ di satu firma di Besut.

Katanya; ada kekosongan di Tetuan Is**cs & Partners!.

Petang itu juga aku telefon dan mendapat pengesahan tentang kekosongan.

Sehari selepas itu, aku pos semula motor aku balik kampung naik lori Pahang Mail.

Kemudian, bermulalah latihan aku di dalam kamar Yg. Bhg. Dato’ di Tetuan Is**cs & Partner di kampung Kolam.

Bersambung….

~mohd sukeri bin muhammad

3 comments:

Anonymous said...

macam cerita indonesia la pulak..ade sambungan!

MB said...

RILEKLAH BRO

Peguam Pengembara said...

bawak-bawak ke luar negara sekali gak.gi tengok negeri org.gi relax.dunia ni sebenarnya besar sdr.