Tuesday, July 28, 2009

PERINGATAN H1N1 HARI KELUARGA

ASSALAMUALAIKUM,


PIHAK JAWATANKUASA PEGUAM NEGERI TERENGGANU AKAN MENGANJURKAN HARI KELUARGA PADA

31 JULAI 2009 BERTEMPAT DI BUKIT KELUANG RESORT BESUT TERENGGANU SELAMA 2 HARI.

ATURCARA TELAHPUN DI E-MAIL KEPADA AHLI-AHLI SEBELUM INI.

PIHAK SAYA SEMALAM (27HB JULAI 2009) TELAH DIMAKLUMKAN BAHAWA TERDAPAT SEBUAH MAKTAB

PERGURUAN DI BESUT TELAH DITUTUP SEMENTARA AKIBAT PENULARAN VIRUS H1N1.

TERDAPAT KEBIMBANGAN DIKALANGAN AHLI ATAS PERKEMBANGAN INI, PIHAK SAYA TELAH

MENGHUBUNGI PEGAWAI KESIHATAN BESUT HAJI CHE MAT, NO TELEPON 09-6957010 UNTUK

MENDAPATKAN PANDANGAN PEJABAT KESIHATAN BERKENAAN PENGANJURAN ACARA KITA.

BELIAU MENGESAHKAN BOLEH DITERUSKAN PROGRAM KITA SERTA TIADA JANGKITAN TERSEBUT

DI TEMPAT YANG KITA AKAN ANJURKAN HARI KELUARGA KITA.

BELIAU HANYA BERPESAN AGAR PESERTA MENJAGA HYGIENE KEBERSIHAN DIRI TERUTAMA ANAK-

ANAK KITA KELAK.

PIHAK SAYA TELAH MENGHUBUNGI PEJABAT KESIHATAN NEGERI TERENGGANU DAN BERTERIMA KASIH

ATAS KESUDIAN MEREKA MEMBEKALKAN KITA DENGAN RISALAH PENCEGAHAN VIRUS H1N1 DAN AKAN

KITA EDARKAN MULAI PETANG ESOK DI LAC DAN SETERUSNYA DI BUKIT KELUANG KELAK.

SILA PASTIKAN SETIAP LANGKAH PENCEGAHAN DIIKUTI.

SEKIAN HARAP MAKLUM.


AMIRRUDDIN ABU BAKAR

PENGERUSI

JAWATANKUASA PEGUAM NEGERI TERENGGANU.

Sunday, July 26, 2009

SALAM DARI MELBOURNE

Sahabat sekelian. sejak tiba di bumi Australia pada 12/12/2008, banyak perkara yang rasanya nak dikongsikan dengan sahabat sekelian. Apabila tiba di Melbourne International Airport, antara perkara pertama yang bermain di kepala saya ialah Australia ialah sebuah negara orang putih.


Meleset samasekali..terlalu ramai bangsa Cina dan India disini. Akhir-akhir ini banyak serangan fizikal bermotif perkauman terhadap bangsa India berlaku. Akan tetapi bangsa lain tiada masalah. Mungkin ada sebab-sebab tertentu ianya berlaku.


Sekarang musim sejuk disini. Minggu lepas saya dan keluarga serta sahabat di sini berkunjung ke Mt.Buller, satu tempat peranginan salji terkenal disini. Maklumlah pertama kali main salji. Masing-masing tak nak balik. Saya menyewa sebuah kereta Kia Rios dengan kadar sewaan Aud77 untuk 2 hari termasuk insurans asas. Sebahagian sahabat tidur di Cabin dan sebahagian menyewa hotel/motel di kaki gunung. Beberapa keping foto akan cuba dilampirkan sebagai ekshibit A.


Cukuplah disini coretan sebagai pembuka lebaran dari saya di Melbourne. Salam mesra dari saya.


Sallehudin bin Harun
Melbourne, Australia.

Thursday, July 23, 2009

PUSAT BANTUAN GUAMAN MAJLIS PEGUAM (TRG)/ LEGAL AID CENTRE

" Staff LAC Rose & Munirah "




" Bilik Bar "



" Bilik Bar "



" Pejabat LAC "



" Pejabat LAC "





" Pejabat Pusat Bantuan Guaman "




PENGENALAN DAN PENUBUHAN PUSAT BANTUAN GUAMAN (EPISOD 1)

Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam mula diperkenalkan dan ditubuhkan pada tahun 1982 dibentuk di bawah badan induk ‘ Majlis Peguam Malaysia ’.

Segala pengurusan dilakukan oleh ‘ National Legal Aid Committee ’ sama bertempat di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, menjalankan segala aktiviti dan tanggungjawab tersendiri di bawah penyeliaan badan tersebut yang memperuntukkan kewangan hasil pungutan tahunan yang perlu dibayar oleh setiap Peguam / Malaysian Bar.

Semenjak dari tahun 1982 ianya berkembang maju dan di buka satu demi satu dalam setiap negeri di Semenanjung Malaysia.Antaranya kini di Penang, Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kuantan, Temerloh, Kelantan dan Terengganu. Setiap cawangan diseliakan dibawah ‘Jawatankuasa Peguam Negeri ’ masing-masing dan melantik seorang sebagai ‘Pengerusi Pusat Bantuan Guaman ’.

Sesetengah cawangan diberi izin sebuah ruang di dalam Bangunan Mahkamah dan selainnya menyewa di luar. Cawangan Terengganu telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Arif Datuk Mohd Saari Bin Yusoff DSPN.,DJN.,Hakim Mahkamah Tinggi, Malaya pada 01hb Oktober 1994 bermula di bangunan Mahkamah lama Jalan Sultan Omar, dan pada tahun 1995 telah berpindah ke Kompleks Mahkamah Baru di Jalan Sultan Mohamad Kuala Terengganu.

Penubuhan Majlis Peguam(Bantuan Guaman) seumpama ini ada di negara-negara yang membangun dan pernah kita menjadi tuan rumah “ Seminar Antarabangsa / World Legal Aid Conference” anjuran Majlis Peguam Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya Bahagian Undang-Undang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 02-04hb Mei 1995.

Pusat Bantuan Guaman berbeza dengan Biro Bantuan Guaman. BBG adalah satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Pentadbirannya diletakkan di bawah bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri. Manakala LAC adalah satu badan yang ditubuhkan oleh Majlis Peguam Malaysia di setiap negeri. Rata-rata masyarakat menganggap kedua-dua badan tersebut adalah sama.

Setiap LAC negeri masing-masing mempunyai seorang Pengerusi. Pengerusi Pusat Bantuan Guaman (Trg)adalah En. Anuwar Bin Mohd. Pengerusi LAC sentiasa bertukar dari masa ke semasa. Ianya dilantik mengikut persetujuan ahli-ahli Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu. Pusat Bantuan Guaman Terengganu mempunyai 2 orang staf yang di tugaskan untuk mentadbir dan menguruskan mengurus LAC iaitu Pn. Rosniza Binti Musa dan Pn. Munirah Binti Salleh.

LAC Terengganu beralamat di Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Sultan Mohamad, bersebelahan Bank Negara Malaysia dan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.
Setiap klien bagi kes yang berdaftar dengan Pusat Bantuan Guaman mestilah ditemuduga/'mean test' tersebut mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Sesudah berpuashati dengan mean test tersebut dan klien layak dibantu, barulah pihak LAC akan mengatur / melantik seorang Peguam bagi mengendalikan kes tersebut sehinggalah selesai. (sambungan..)


b.p. PENGERUSI.
PUSAT BANTUAN GUAMAN











Thursday, July 16, 2009

TAHNIAH DIATAS KELAHIRAN KHAYRA BINTI HAZRI; CUCU TUAN HAJI MUKHTAR BIN ABDULLAH



Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada wakil ke Majlis Peguam, Tuan Haji Mukhtar bin Abdullah dan isteri Hajjah Zaini binti Mohammad di atas kehadiran cucu keduanya, Khayra binti Hazri.

Khayra binti Hazri merupakan cahayamata pertama bagi pasangan peguam Noor Wahida binti Mukhtar dan Hazri bin Haris di Tetuan Zamani Mohammad & Co. Semoga dengan kehadiran Khayra ini menceriakan lagi kehidupan pasangan ini dan juga menghiburkan tokki dan tokminya.

Tahniah.

Tuesday, July 7, 2009

Latihan Dalam Kamar - Satu Enigma (Bhg. 1)

Latihan Dalam Kamar – Satu Enigma (Bahagian Pertama).

Seperti peguam-peguam lain yang mengamal di dalam negeri Terengganu, aku juga perlu menjalani Latihan Dalam Kamar atau ‘Chambering’ selama sembilan bulan yang penuh dengan cabaran, kepayahan dan pengalaman yang tidak ternilai.

Ini adalah cerita aku.

…

Sebaik sahaja aku habis menjalani peperiksaan akhir di tahun akhir aku di Universiti, aku tak berapa hiraukan sangat untuk mendapatkan tempat bagi menjalani latihan dalam kamar kerana sebenarnya aku tak mahu menjadi terlebih yakin bahawa aku mampu menghabiskan pengajian selama empat tahun cukup. ‘Grad on time’ istilah ketika itu. Separuh kawan-kawan yang masuk satu ‘batch’ dengan aku terpaksa mengulang tahun. Hanya separuh yang tinggal termasuk aku.

Lepas peperiksaan, apa lagi? Balik kampung dan lepak agung. Tidur, bangun, makan nasi mak tanak dan tidur semula sambil tambah lemak.

Selepas lebih kurang dua bulan, aku menerima surat daripada Fakulti dan memaklumkan bahawa aku telah berjaya menghabiskan pengajian.Ketika itu, gembira bukan kepalang kerana usaha yang gigih terbalas jua akhirnya.

Tak kisahlah dapat kelas berapa.

Janji ‘grad on time’.

Masa itu, aku cuba telefon kawan-kawan. Mana yang gagal, terpaksa mengulang dalam peperiksaan semula ketika cuti. Mana yang berjaya, sudah mula mencari tempat untuk membuat Latihan Dalam Kamar. ‘Batch’ aku, cuma aku dan Rosnah daripada Terengganu. Yang lain semua berada di negeri lain.

Aku hidupkan enjin motor Honda Fame buruk aku dan aku tuju ke pejabat Asmadi, Azmi & Associates. Aku cari Mazlan sebab hanya dia senior aku yang menjadi peguam di Kuala Terengganu. Peguam dari satu universiti yang lebih senior adalah rakan kongsi di situ, tapi aku segan.

Melalui Mazlan, kami cuba mengubungi beberapa firma yang mempunyai kelayakan untuk mengambil pelatih dalam kamar. Malangnya, kesemua firma yang dihubungi menyatakan bahawa tiada tempat untuk aku kerana hampir kesemua pelatih yang ada ketika itu, masih belum manghabiskan tempoh sembilan bulan ‘chambering’ mereka.

Tiada tempat untuk aku di Kuala Terengganu.

Aku sudah jadi risau. Semua kawan-kawan sudah mulakan ‘chambering’ mereka. Semua sudah tak sabar-sabar nak jadi ‘lawyer’.

Aku? Aku masih di rumah mak dan asyik dok tambah lemak. ‘Resume’ semua sudah dihantar ke firma-firma di Kuala Terengganu tapi malangnya, langsung tiada jawapan dari mereka. Belum ada rezeki lagi.

Suatu hari, aku bulatkan hati dan nekadkan diri. Aku dah bosan menanti. Alih-alih, nanti aku jugak yang susah hati.

Petang itu juga aku poskan motor aku naik lori.

Apa nak jadi pun, jadilah.

Malam itu, aku naik bas ekspress ke Kuala Lumpur.

Di ibu kota, aku menjelajah dari satu firma guaman ke satu firma guaman. Berbekalkan senaskah ‘resume’, berkemeja putih dan bertali leher. Kasut hitam cuma stokin sukan. Satu Kuala Lumpur aku redah.

Firma yang besar-besar aku tak pergi sebab rasa macam tak kena sahaja dengan gaya aku ketika itu. Aku cuma menjelajah masuk ke firma-firma kecil sekitar Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan sekitar Dataran Merdeka.

Malang bagi aku, satu pun tak sangkut.

Kebanyakannya sekadar berkata ; ‘Don’t call us, we will call you’.

Ada firma yang semasa temuduga bertanya ; ‘Do you own a car?’

Aku kata dalam hati, ‘mak aii..belum pun kerja loyar dah kena ada kereta ke?’

Tiga empat hari aku ke sana dan ke sini. Aku akhirnya ‘give up’. Mungkin bukan rezeki aku gamaknya.

Melepak di rumah sewa kawan yang belum habis pengajian akibat mengulang, aku bangun, tidur dan aku tidur, bangun. Satu hari, kawan aku naik bosan. Dia balik dari kuliah dan aku baru bangun dari tidur dengan mata yang masih mamai.

Dia kata ; ‘ get a LIFE! man..’

Dia mencadangkan supaya aku tolong dia sepenuh masa.

Menjual t-shirt.

Bermula hari itu, aku menjadi seorang pengusaha t-shirt yang tak bergaji. Kerja aku banyak berulang dari rumah sewa ke samada Central Market atau pun Kampung Baru, di mana t-shirt dicetak.

Aku sibuk dengan t-shirt sehinggalah tiba hari konvokesyen. Mak dan arwah ayah datang tengok aku mengambil segulung ijazah. Pakai tali leher dan baju kot dalam jubah.

Kasut hitam tapi masih stokin sukan.

Malam sebelum konvokesyen, aku masih sibuk di tapak pesta berhampiran Dewan Canselor. Dalam khemah yang kami sewa. Menjual t-shirt macam-macam warna.

Esoknya, jumpa kawan-kawan dan semua asyik bercerita tentang ‘chambering’ yang mereka sedang jalankan. Ketika beratur untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Azlan untuk mengambil segulung kotak bulat bewarna biru yang menjadi tanda bahawa aku sudah tamat dari jadi budak U. Aku bersembang dengan Rosnah yang ‘chambering’ di satu firma di Besut.

Katanya; ada kekosongan di Tetuan Is**cs & Partners!.

Petang itu juga aku telefon dan mendapat pengesahan tentang kekosongan.

Sehari selepas itu, aku pos semula motor aku balik kampung naik lori Pahang Mail.

Kemudian, bermulalah latihan aku di dalam kamar Yg. Bhg. Dato’ di Tetuan Is**cs & Partner di kampung Kolam.

Bersambung….

~mohd sukeri bin muhammad