Wednesday, August 28, 2013

Coretan Interstate Games Bar



Di celah-celah kesibukan menyambut syawal dan open house sana-sini, Terengganu Bar sekali lagi telah menyahut seruan memajukan sukan untuk negara dengan menyertai Interstate Bar Games yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Negara (Panasonic Sports Complex) pada 24 Ogos 2013. Penyertaan kali ini amat membanggakan apabila kontinjen Terengganu Bar telah menghantar wakil pemain-pemain yang cukup handal dalam beberapa acara seperti bola sepak, bola jaring, bola tampar dan juga badminton.

Seawal jam 730 pagi, ketika kabus masih lagi tebal, kontinjen Terengganu Bar dengan semangatnya mula bergerak daripada penginapan INTEKMA ke Barra. Bagaikan semangat membara seperti 'Barra' masing-masing mengisi perut dengan pelbagai santapan pagi. Macam-macam gaya dan pilihan makanan.Ada yang memilih makanan berat seperti nasi lemak. Kata salah seorang atlet, ' kena makan kenyang-kenyang, biar main sampai nelang'.

Jersi-Jersi Terengganu Bar memenuhi ruang Barra
'kena makan biar kenyang, biar main nanti sampai nelang'

Seusai makan, maka kontinjen Terengganu Bar secara konvoinya bergerak ke Kompleks Sukan Negara. Mencecah sahaja kaki di sana, team Netball Terengganu atau juga dikenali Team High Star telah disambut oleh pengurus kejohanan yang memberitahu 'game' akan bermula dalam masa 10 minit. Cuak , berdebar dan takut bagaikan satu pakej lengkap  hadir dalam diri masing-masing, sampaikan ada yang tak nak turun dari kereta Estima. Katanya gerun. Namun begitu, kerana keberanian, perasaan cuak dan berdebar di tolak jauh-jauh maka dengan muka berani masing-masing masuk ke gelanggang permainan netball.




Team High Star telah berkesempatan 'bertentang mata' dengan tiga team bola jaring lain iaitu daripada KL Bar, Selangor Bar dan juga Penang Bar. Permainan dimulakan. Pelbagai adegan dan aksi dirakamkan. Masing-masing cuba menghasilkan jaringan terbanyak bagi meraih johan.  




Setelah berhempas pulas, Team High Star meraih tempat keempat.
Beralih pula ke gelanggang lain iaitu gelanggang bola tampar. Team bola tampar diwakili oleh barisan atlet handalan  hasil acuan gabungan peguam senior dan juga peguam muda. Atlet -atlet begitu bersemangat dan memberikan saingan sengit kepada pihak lawan iaitu KL Bar dan juga Selangor Bar. Strategi -strategi serangan telah diatur dan dilaksanakan kepada pihak lawan dan menjadikan perlawanan begitu hangat malahan mendebarkan. Keputusannya amat membanggakan apabila team bola tampar berjaya meraih tempat ketiga setelah penat berhempas pulas ^_^

Team Mantap Bola Tampar
Menjengah pula ke gelanggang badminton yang bersebelahan dengan gelangang bola tampar. Kali ini, skuad elit badminton  bermain penuh dengan gaya dan skill yang mantap. Pada hemat penulis, tak mustahil dalam kalangan barisan peguam senior dan peguam muda akan lahir bintang-bintang yang mengikut jejak langkah Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo yang telah bersara seandainya berlatih dengan lebih mantap. Masing-masing punya gaya 'smash' yang tersendiri dan demi kerana semangatnya mewakili Terengganu Bar terdapat beberapa ahli skuad elit badminton yang mengalami kecederaan seperti 'hamstring' dan lain-lain. Satu kejayaan yang amat boleh dibanggakan apabila skuad elit ini berjaya masuk ke semi final dan menduduki tangga ke lima daripada 13 bar states. Tidak juga dilupakan pasangan regu wanita yang tampak lembut tetapi penuh dengan ketangkasan apabila mencatatkan rekod meraih tempat keempat. Tahniah diucapkan :)

Skuad Elit Badminton :)
Akhirnya, beralih ke 'game' yang paling hangat dan paling dinanti-nantikan iaitu Bola Sepak. Game bola sepak mencatat penyertaan paling ramai antara States Bar iaitu sebanyak 9 kumpulan sehingga menyebabkan perlawanan diteruskan sehingga ke petang meskipun panas terik mentari.  Pemain -pemain bola sepak Terengganu Bar dibarisi peguam senior dan juga peguam muda yang rata-ratanya handal mengelecek bola dan mungkin suatu masa nanti akan lahir pemain hebat seperti Messi daripada Terengganu Bar. Siapa sangka, bukan?

Kehandalan pemain bola sepak kita sememangnya tidak dinafikan lagi apabila telah mendapat keputusan seri apabila berjumpa dengan Kelantan Bar pada awalnya iaitu 1-1. Kehebatan terus dipamerkan apabila Terengganu Bar menang mudah ke atas Penang Bar 2-0 dan juga 2-0 ke atas Kuala Lumpur Bar 2. Kemenangan itu melayakkan Terengganu bersemuka dengan Melaka Bar di peringkat suku akhir dan juga menang 2-0. Biarpun berterik panas dan jam sudah menghampiri 4 petang, pemain bola sepak kita masih lagi gagah mempamerkan aksi terbaik tandukan dan gelecekan di tengah padang bola ketika separuh akhir. Namun begitu, nasib baik tidak berpihak kepada kita apabila kalah tipis penalti kepada Kuala Lumpur Bar 1 iaitu 3-2.


Setelah penat berhempas - pulas di Padang, kontinjen Terengganu Bar pulang menuju ke Terengganu tercinta dengan perasaan yang penuh kepuasan setelah memberikan pertunjukan yang terbaik. Satu perkara yang penting dilihat hasil daripada penyertaan atlit-atlit Terengganu Bar menyertai Interstate Games Bar adalah kesatuan dan ukhuwah antara peguam senior dan peguam muda makin terjalin dengan erat malahan tiada jurang yang memisahkan.Bak kata pepatah yang tua dihormati, yang muda kita sayangi. Tahniah diucapkan kepada semua pemain dan atlet! Teruskan Bersemangat! Moga untuk Interstate Bar Games yang akan datang, Terengganu Bar akan dapat menghantar penyertaan lebih banyak lagi dan atlet-atlet akan meraih kejayaan yang lebih mengharumkan Terengganu Bar. Akhirnya, majulah sukan ! ^_^