Saturday, July 27, 2013

Iftar Bersama Anak-Anak Yatim Darul Akhyar


Pada 17hb Julai 2013 yang lalu bersamaan 11 Ramadhan 1434H , Terengganu Bar dengan jayanya telah menjalankan program berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Darul Akhyar yang terletak di Batu Rakit, Terengganu. Program ini melibatkan kesemua penghuni di Darul Akhyar yang berjumlah dalam kira-kira 100 orang yang rata-ratanya berusia 13  sehingga 18 tahun.


Tentatif program bermula pada jam 3.00 petang dengan pembahagian kumpulan. Sebanyak 9 kumpulan telah ditubuhkan dengan keahlian sekitar 8-10 orang adik-adik. Tugas telah diberikan dan diberikan masa selama sejam setengah untuk menyiapkan masjid dan juga logo. Idea mencipta masjid ini sempena meraikan ketibaan bulan ramadhan kareem di samping mengingatkan kita supaya banyak mengimarahkan masjid-masjid sepanjang ramadhan ini.


Sejam setengah yang berlalu, telah digunakan semaksimunya oleh adik-adik di Darul Akhyar untuk menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan masjid dan logo yang terbaik. Selanjutnya,  sesi pembentangan dan soal jawab telah dijalankan oleh wakil kumpulan. Setiap kumpulan punya kreativiti masing-masing dan setiap persoalan yang diajukan berjaya dijawab dengan sebaiknya.


Seusai pembentangan dijalankan, maka adik-adik dan para peguam yang hadir bersama-sama menunaikan solat asar secara berjemaah.Sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa, sedikit tazkirah dan zikir munajat dialunkan bagi mengisi ruang waktu. Nyata, adik-adik di Darul Akhyar sangat memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan.




Masa yang paling ditunggu-tunggu ialah waktu berbuka puasa. Sebelum berbuka puasa, adik-adik telah beratur dengan penuh berdisiplin ketika ingin mengambil makanan dan dibantu oleh para peguam dalam menghidangkan makanan tersebut kepada mereka. Menu pada hari tersebut ialah daging sambal, ayam goreng, masak lemak pucuk paku dan sedikit kuih - muih.


Perut kenyang, hati pun suka ^_^. Maka , sejurus itu, pengisiannya ialah solat maghrib berjemaah yang diketuai oleh Ustaz Hafizul daripada Maahad Tahfiz Tok Jiring  dan sementara menunggu waktu isyak diselitkan dengan sedikit tazkirah daripada ustaz tersebut. Banyak input yang disampaikan, antaranya menjadikan bulan ramadhan ini sebagai platform untuk menjadikan insan yang lebih bertaqwa dan lebih bersyukur dengan atas segala nikmat dan rahmat kurniaan-Nya. Seterusnya, diteruskan dengan solat isyak dan terawih secara berjemaah.Selesai menunaikan solat isyak dan terawih berjemaah, adik-adik dijamu dengan 'moreh'.  Mereka tampak sangat gembira . 



Agenda terakhir ialah Majlis Penutup. Majlis penutup telah berjalan dengan jayanya dengan ucapan daripada wakil Terengganu Bar oleh Encik Sukri, wakil daripada Darul Akhyar dan juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh adik-adik di Darul Akhyar yang telah mendendangkan lagu yang bertajuk wajah. Selain itu , sesi pembahagian hadiah telah dijalankan bagi setiap kumpulan dan paling akhir sekali ialah sesi memberi duit raya kepada adik-adik di Darul Akhyar.


Ringkasnya, program ini berjaya mendekatkan Terengganu Bar dengan adik-adik di Darul Akhyar. Moga program seperti ini dapat dijalankan lagi:)