Tuesday, July 28, 2009

PERINGATAN H1N1 HARI KELUARGA

ASSALAMUALAIKUM,


PIHAK JAWATANKUASA PEGUAM NEGERI TERENGGANU AKAN MENGANJURKAN HARI KELUARGA PADA

31 JULAI 2009 BERTEMPAT DI BUKIT KELUANG RESORT BESUT TERENGGANU SELAMA 2 HARI.

ATURCARA TELAHPUN DI E-MAIL KEPADA AHLI-AHLI SEBELUM INI.

PIHAK SAYA SEMALAM (27HB JULAI 2009) TELAH DIMAKLUMKAN BAHAWA TERDAPAT SEBUAH MAKTAB

PERGURUAN DI BESUT TELAH DITUTUP SEMENTARA AKIBAT PENULARAN VIRUS H1N1.

TERDAPAT KEBIMBANGAN DIKALANGAN AHLI ATAS PERKEMBANGAN INI, PIHAK SAYA TELAH

MENGHUBUNGI PEGAWAI KESIHATAN BESUT HAJI CHE MAT, NO TELEPON 09-6957010 UNTUK

MENDAPATKAN PANDANGAN PEJABAT KESIHATAN BERKENAAN PENGANJURAN ACARA KITA.

BELIAU MENGESAHKAN BOLEH DITERUSKAN PROGRAM KITA SERTA TIADA JANGKITAN TERSEBUT

DI TEMPAT YANG KITA AKAN ANJURKAN HARI KELUARGA KITA.

BELIAU HANYA BERPESAN AGAR PESERTA MENJAGA HYGIENE KEBERSIHAN DIRI TERUTAMA ANAK-

ANAK KITA KELAK.

PIHAK SAYA TELAH MENGHUBUNGI PEJABAT KESIHATAN NEGERI TERENGGANU DAN BERTERIMA KASIH

ATAS KESUDIAN MEREKA MEMBEKALKAN KITA DENGAN RISALAH PENCEGAHAN VIRUS H1N1 DAN AKAN

KITA EDARKAN MULAI PETANG ESOK DI LAC DAN SETERUSNYA DI BUKIT KELUANG KELAK.

SILA PASTIKAN SETIAP LANGKAH PENCEGAHAN DIIKUTI.

SEKIAN HARAP MAKLUM.


AMIRRUDDIN ABU BAKAR

PENGERUSI

JAWATANKUASA PEGUAM NEGERI TERENGGANU.

Sunday, July 26, 2009

SALAM DARI MELBOURNE

Sahabat sekelian. sejak tiba di bumi Australia pada 12/12/2008, banyak perkara yang rasanya nak dikongsikan dengan sahabat sekelian. Apabila tiba di Melbourne International Airport, antara perkara pertama yang bermain di kepala saya ialah Australia ialah sebuah negara orang putih.


Meleset samasekali..terlalu ramai bangsa Cina dan India disini. Akhir-akhir ini banyak serangan fizikal bermotif perkauman terhadap bangsa India berlaku. Akan tetapi bangsa lain tiada masalah. Mungkin ada sebab-sebab tertentu ianya berlaku.


Sekarang musim sejuk disini. Minggu lepas saya dan keluarga serta sahabat di sini berkunjung ke Mt.Buller, satu tempat peranginan salji terkenal disini. Maklumlah pertama kali main salji. Masing-masing tak nak balik. Saya menyewa sebuah kereta Kia Rios dengan kadar sewaan Aud77 untuk 2 hari termasuk insurans asas. Sebahagian sahabat tidur di Cabin dan sebahagian menyewa hotel/motel di kaki gunung. Beberapa keping foto akan cuba dilampirkan sebagai ekshibit A.


Cukuplah disini coretan sebagai pembuka lebaran dari saya di Melbourne. Salam mesra dari saya.


Sallehudin bin Harun
Melbourne, Australia.

Thursday, July 23, 2009

PUSAT BANTUAN GUAMAN MAJLIS PEGUAM (TRG)/ LEGAL AID CENTRE

" Staff LAC Rose & Munirah "




" Bilik Bar "



" Bilik Bar "



" Pejabat LAC "



" Pejabat LAC "





" Pejabat Pusat Bantuan Guaman "




PENGENALAN DAN PENUBUHAN PUSAT BANTUAN GUAMAN (EPISOD 1)

Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam mula diperkenalkan dan ditubuhkan pada tahun 1982 dibentuk di bawah badan induk ‘ Majlis Peguam Malaysia ’.

Segala pengurusan dilakukan oleh ‘ National Legal Aid Committee ’ sama bertempat di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, menjalankan segala aktiviti dan tanggungjawab tersendiri di bawah penyeliaan badan tersebut yang memperuntukkan kewangan hasil pungutan tahunan yang perlu dibayar oleh setiap Peguam / Malaysian Bar.

Semenjak dari tahun 1982 ianya berkembang maju dan di buka satu demi satu dalam setiap negeri di Semenanjung Malaysia.Antaranya kini di Penang, Kedah, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kuantan, Temerloh, Kelantan dan Terengganu. Setiap cawangan diseliakan dibawah ‘Jawatankuasa Peguam Negeri ’ masing-masing dan melantik seorang sebagai ‘Pengerusi Pusat Bantuan Guaman ’.

Sesetengah cawangan diberi izin sebuah ruang di dalam Bangunan Mahkamah dan selainnya menyewa di luar. Cawangan Terengganu telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang Arif Datuk Mohd Saari Bin Yusoff DSPN.,DJN.,Hakim Mahkamah Tinggi, Malaya pada 01hb Oktober 1994 bermula di bangunan Mahkamah lama Jalan Sultan Omar, dan pada tahun 1995 telah berpindah ke Kompleks Mahkamah Baru di Jalan Sultan Mohamad Kuala Terengganu.

Penubuhan Majlis Peguam(Bantuan Guaman) seumpama ini ada di negara-negara yang membangun dan pernah kita menjadi tuan rumah “ Seminar Antarabangsa / World Legal Aid Conference” anjuran Majlis Peguam Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya Bahagian Undang-Undang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 02-04hb Mei 1995.

Pusat Bantuan Guaman berbeza dengan Biro Bantuan Guaman. BBG adalah satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Pentadbirannya diletakkan di bawah bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri. Manakala LAC adalah satu badan yang ditubuhkan oleh Majlis Peguam Malaysia di setiap negeri. Rata-rata masyarakat menganggap kedua-dua badan tersebut adalah sama.

Setiap LAC negeri masing-masing mempunyai seorang Pengerusi. Pengerusi Pusat Bantuan Guaman (Trg)adalah En. Anuwar Bin Mohd. Pengerusi LAC sentiasa bertukar dari masa ke semasa. Ianya dilantik mengikut persetujuan ahli-ahli Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu. Pusat Bantuan Guaman Terengganu mempunyai 2 orang staf yang di tugaskan untuk mentadbir dan menguruskan mengurus LAC iaitu Pn. Rosniza Binti Musa dan Pn. Munirah Binti Salleh.

LAC Terengganu beralamat di Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Sultan Mohamad, bersebelahan Bank Negara Malaysia dan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.
Setiap klien bagi kes yang berdaftar dengan Pusat Bantuan Guaman mestilah ditemuduga/'mean test' tersebut mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Sesudah berpuashati dengan mean test tersebut dan klien layak dibantu, barulah pihak LAC akan mengatur / melantik seorang Peguam bagi mengendalikan kes tersebut sehinggalah selesai. (sambungan..)


b.p. PENGERUSI.
PUSAT BANTUAN GUAMAN











Thursday, July 16, 2009

TAHNIAH DIATAS KELAHIRAN KHAYRA BINTI HAZRI; CUCU TUAN HAJI MUKHTAR BIN ABDULLAH



Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada wakil ke Majlis Peguam, Tuan Haji Mukhtar bin Abdullah dan isteri Hajjah Zaini binti Mohammad di atas kehadiran cucu keduanya, Khayra binti Hazri.

Khayra binti Hazri merupakan cahayamata pertama bagi pasangan peguam Noor Wahida binti Mukhtar dan Hazri bin Haris di Tetuan Zamani Mohammad & Co. Semoga dengan kehadiran Khayra ini menceriakan lagi kehidupan pasangan ini dan juga menghiburkan tokki dan tokminya.

Tahniah.

Tuesday, July 7, 2009

Latihan Dalam Kamar - Satu Enigma (Bhg. 1)

Latihan Dalam Kamar – Satu Enigma (Bahagian Pertama).

Seperti peguam-peguam lain yang mengamal di dalam negeri Terengganu, aku juga perlu menjalani Latihan Dalam Kamar atau ‘Chambering’ selama sembilan bulan yang penuh dengan cabaran, kepayahan dan pengalaman yang tidak ternilai.

Ini adalah cerita aku.



Sebaik sahaja aku habis menjalani peperiksaan akhir di tahun akhir aku di Universiti, aku tak berapa hiraukan sangat untuk mendapatkan tempat bagi menjalani latihan dalam kamar kerana sebenarnya aku tak mahu menjadi terlebih yakin bahawa aku mampu menghabiskan pengajian selama empat tahun cukup. ‘Grad on time’ istilah ketika itu. Separuh kawan-kawan yang masuk satu ‘batch’ dengan aku terpaksa mengulang tahun. Hanya separuh yang tinggal termasuk aku.

Lepas peperiksaan, apa lagi? Balik kampung dan lepak agung. Tidur, bangun, makan nasi mak tanak dan tidur semula sambil tambah lemak.

Selepas lebih kurang dua bulan, aku menerima surat daripada Fakulti dan memaklumkan bahawa aku telah berjaya menghabiskan pengajian.Ketika itu, gembira bukan kepalang kerana usaha yang gigih terbalas jua akhirnya.

Tak kisahlah dapat kelas berapa.

Janji ‘grad on time’.

Masa itu, aku cuba telefon kawan-kawan. Mana yang gagal, terpaksa mengulang dalam peperiksaan semula ketika cuti. Mana yang berjaya, sudah mula mencari tempat untuk membuat Latihan Dalam Kamar. ‘Batch’ aku, cuma aku dan Rosnah daripada Terengganu. Yang lain semua berada di negeri lain.

Aku hidupkan enjin motor Honda Fame buruk aku dan aku tuju ke pejabat Asmadi, Azmi & Associates. Aku cari Mazlan sebab hanya dia senior aku yang menjadi peguam di Kuala Terengganu. Peguam dari satu universiti yang lebih senior adalah rakan kongsi di situ, tapi aku segan.

Melalui Mazlan, kami cuba mengubungi beberapa firma yang mempunyai kelayakan untuk mengambil pelatih dalam kamar. Malangnya, kesemua firma yang dihubungi menyatakan bahawa tiada tempat untuk aku kerana hampir kesemua pelatih yang ada ketika itu, masih belum manghabiskan tempoh sembilan bulan ‘chambering’ mereka.

Tiada tempat untuk aku di Kuala Terengganu.

Aku sudah jadi risau. Semua kawan-kawan sudah mulakan ‘chambering’ mereka. Semua sudah tak sabar-sabar nak jadi ‘lawyer’.

Aku? Aku masih di rumah mak dan asyik dok tambah lemak. ‘Resume’ semua sudah dihantar ke firma-firma di Kuala Terengganu tapi malangnya, langsung tiada jawapan dari mereka. Belum ada rezeki lagi.

Suatu hari, aku bulatkan hati dan nekadkan diri. Aku dah bosan menanti. Alih-alih, nanti aku jugak yang susah hati.

Petang itu juga aku poskan motor aku naik lori.

Apa nak jadi pun, jadilah.

Malam itu, aku naik bas ekspress ke Kuala Lumpur.

Di ibu kota, aku menjelajah dari satu firma guaman ke satu firma guaman. Berbekalkan senaskah ‘resume’, berkemeja putih dan bertali leher. Kasut hitam cuma stokin sukan. Satu Kuala Lumpur aku redah.

Firma yang besar-besar aku tak pergi sebab rasa macam tak kena sahaja dengan gaya aku ketika itu. Aku cuma menjelajah masuk ke firma-firma kecil sekitar Jalan Pudu, Jalan Bangsar dan sekitar Dataran Merdeka.

Malang bagi aku, satu pun tak sangkut.

Kebanyakannya sekadar berkata ; ‘Don’t call us, we will call you’.

Ada firma yang semasa temuduga bertanya ; ‘Do you own a car?’

Aku kata dalam hati, ‘mak aii..belum pun kerja loyar dah kena ada kereta ke?’

Tiga empat hari aku ke sana dan ke sini. Aku akhirnya ‘give up’. Mungkin bukan rezeki aku gamaknya.

Melepak di rumah sewa kawan yang belum habis pengajian akibat mengulang, aku bangun, tidur dan aku tidur, bangun. Satu hari, kawan aku naik bosan. Dia balik dari kuliah dan aku baru bangun dari tidur dengan mata yang masih mamai.

Dia kata ; ‘ get a LIFE! man..’

Dia mencadangkan supaya aku tolong dia sepenuh masa.

Menjual t-shirt.

Bermula hari itu, aku menjadi seorang pengusaha t-shirt yang tak bergaji. Kerja aku banyak berulang dari rumah sewa ke samada Central Market atau pun Kampung Baru, di mana t-shirt dicetak.

Aku sibuk dengan t-shirt sehinggalah tiba hari konvokesyen. Mak dan arwah ayah datang tengok aku mengambil segulung ijazah. Pakai tali leher dan baju kot dalam jubah.

Kasut hitam tapi masih stokin sukan.

Malam sebelum konvokesyen, aku masih sibuk di tapak pesta berhampiran Dewan Canselor. Dalam khemah yang kami sewa. Menjual t-shirt macam-macam warna.

Esoknya, jumpa kawan-kawan dan semua asyik bercerita tentang ‘chambering’ yang mereka sedang jalankan. Ketika beratur untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Raja Azlan untuk mengambil segulung kotak bulat bewarna biru yang menjadi tanda bahawa aku sudah tamat dari jadi budak U. Aku bersembang dengan Rosnah yang ‘chambering’ di satu firma di Besut.

Katanya; ada kekosongan di Tetuan Is**cs & Partners!.

Petang itu juga aku telefon dan mendapat pengesahan tentang kekosongan.

Sehari selepas itu, aku pos semula motor aku balik kampung naik lori Pahang Mail.

Kemudian, bermulalah latihan aku di dalam kamar Yg. Bhg. Dato’ di Tetuan Is**cs & Partner di kampung Kolam.

Bersambung….

~mohd sukeri bin muhammad

MAJLIS BACAAN YASIN

"Bergambar kenangan selepas bacaan Yassin"

" Ahli-ahli kusyuk membaca Yassin"







Pada 4hb Julai 2009 iaitu hari Sabtu, satu majlis bacaan Yassin telah di adakan di kediaman Pn. Rosnah di Taman Kokitab 2, Kg Wakaf Baru, Gong Badak. Majlis tersebut telah dihadiri seramai 10 orang iaitu, Pn. Rosnah selaku tuan rumah, Pn. Salwa, Pn. Amalina, Cik Juna,Pn. Norizan, Cik Wahida, Cik Hasnayati, Cik Rita Haizora, Pn. Norizai, Cik Sarini dan Ros(LAC).


Bacaan yasin tersebut di adakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli. selain itu, ianya bertujuan untuk menyedekahkan bacaan yasin kepada ibu bapa, sahabat, kaum keluarga serta para muslimin dan muslimat yang telah meninggal dunia.


Majlis bacaan Yassin di mulakan pada pukul 3.30 petang dan disudahi pada pukul 4.15 petang. Selesai bacaan Yassin, sedikit jamuan makan di adakan. Pihak Jawatankuasa Peguam berharap majlis bacaan Yassin seperti ini akan terus diadakan pada masa-masa akan datang dan diharap mendapat sokongan daripada ahli-ahli supaya lebih ramai menyertainya.
Sekian, terima kasih

Wednesday, July 1, 2009

PANGGILAN KE PULAU KARIMUN, INDONESIA

Ahli rombongan di pelabuhan Kukup




"Pempek Palembang di pasar malam"








"Sedang pekena Bakso Surabaya"






Pada 24.6.2009, saya telah mengetuai satu rombongan seramai 15 orang anjuran Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu ke Pulau Karimun Indonesia. Antara mereka ialah Nizam, Ubai, Pak Mat, Atifah, Hasnayati, Rohayati, dan lain-lain lagi.

Kami bertolak dari Kuala Terengganu pada jam 6 petang dengan 4 buah kereta. Kami telah singgah di Restoran Perantau, Kuantan untuk makan malam pada pukul 9 malam. Kemudian kami meneruskan perjalanan melalui Lebuhraya Tun Razak dan berhenti minum kopi di Bandar Segamat pada pukul 12 malam. Jam 3.40 pagi, kami singgah di sebuah masjid di Pekan Pontian Kecil. Selepas solat Subuh dan mandi, kira-kira jam 7 pagi kami bertolak ke Pelabuhan Kukup dan tiba di sana jam 7.30 pagi.

Setelah membeli tiket pergi balik yang berharga RM85.00, bayaran sur charge sebanyak RM 5.00 dan cukai pelabuhan berjumlah RM10.00, kami bertolak dari Pelabuhan Kukup dengan feri pada jam 8.30 pagi. Sebelum bertolak kami telah menukar wang di Pelabuhan Kukup. Kadar tukarannya adalah RM342.00 untuk Satu Juta Rupiah. Semasa berada di dalam feri, semuanya kelihatan senyum kambing, maklumlah baru bergelar jutawan segera.

Lebih kurang jam 9.30 pagi atau 8.30 pagi waktu Indonesia Barat(WIB), kami tiba di Pelabuhan Tanjung Balai Pulau Karimun Indonesia. Pemeriksaan kesihatan bagi membendung penularan wabak selsema babi dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia sebelum masuk ke balai ketibaan. Selepas melepasi pemeriksaan Imegresen tanpa sebarang masalah, kami berjalan keluar dari pelabuhan ke hotel.

Rombongan menginap di Hotel Paragon yang terletak di tengah-tengah Pekan Tanjung Balai. Kadar bilik untuk satu malam adalah 140,000 Rupiah. Selepas rehat seketika, saya telah membawa ahli rombongan meninjau sekitar Pekan Tanjung Balai dan makan tengahari di rumah makan nasi padang. Lauk-lauknya enak, semua puas hati.

Selepas makan tengahari, maka bermulalah agenda yang dinanti-nantikan. Shopping, shopping, shopping........Pukul 5.30 petang, saya meninjau ke satu lokasi yang biasa saya kunjungi dengan Anuwar 4 tahun dahulu berhampiran Hotel Mahkota. Yahoo........ seorang peniaga "Bakso Surabaya" masih menapak di tempat yang sama. Pada petang itu, saya pekena 3 mangkuk "Bakso". Lain-lain ahli rombongan khabarnya tidak kurang 2 mangkuk seorang. "Enak sekali pak......"

Jam 6.30 petang, saya bersama beberapa orang ahli rombongan telah ke pasar malam yang terletak lebih kurang 200 meter dari hoel penginapan kami. Saya terpandang satu makanan yang pernah saya makan semasa kunjungan saya ke Pulau Batam beberapa tahun dahulu iaitu "Pempek Palembang". Kesemua ahli rombongan telah membelinya. Rasanya enak juga.

Aktiviti shopping kurang rancak pada waktu malam, oleh kerana kebanyakan kedai ditutup pada jam 6.00 petang.

Pada 25.6.2009, bermula pada jam 10.00 pagi, aktiviti shopping di sekitar hotel penginapan kami bagi ahli rombongan mula menggila kembali. Selepas solat Jumaat di masjid berhampiran hotel, saya telah terserempak dengan beberapa orang ahli rombongan dari Terenganu yang saya kenali di lobi hotel. Mereka adalah dari rombongan anjuran Majlis Agama Islam Terengganu yang datang dengan 2 buah bas dan menginap di hotel yang sama dengan kami.

Seterusnya saya telah berjumpa dengan rombongan dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan satu rombongan dari JKR Hulu Terengganu. Pada hari berkenaan, semasa membeli belah di sekitar hotel, kami berasa seolah-olah berada di Terengganu

Hari tersebut, Nasi Padang, Bakso Surabaya dan Pempek Pelambang masih menjadi menu utama. Khabarnya ada yang pekena 4 mangkuk Bakso pada hari itu. Bukan Penulis ya!!

Selain pakaian, sebagai ole-ole utama yang di beli, ahli-ahli rombongan juga nampaknya tidak ketinggalan membawa balik kopi bubuk karimun cap Utama. Terasa khayal halus selepas meminumnya.

Pada 26.6.2009, jam 7.00 pagi, kami keluar dari hotel dan menuju ke Pelabuhan Tanjung Balai dengan jumlah beg yang berlipat kali ganda. Di Pelabuhan, kami dikenakan caj untuk confirm tiket 10,000 rupiah dan tax pelabuhan sebanyak 60,000 rupiah. Kami menaiki feri jam 8.30 pagi atau 7.30 pagi waktu Indonesia Barat dan tiba di Pelabuhan Kukup pada jam 9.30 pagi.


Sebelum kami tiba di Dewan Ketibaan Pelabuhan Kukup, pemeriksaan kesihatan untuk membendung wabak selsema babi dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Syukur kerana kesemua ahli rombongan bebas dari membawa atau dijangkiti virus tersebut.

Selepas melalui kaunter masuk Jabatan Imegresen Malaysia, semua ahli rombongan telah ditahan kerana telah membawa "lebih muatan". Hasil perbincangan saya dengan pihak Imegresen, kami telah dilepaskan dengan bayaran cukai minima. Semuanya menarik nafas lega. Bolehlah berbelanja lagi di Pekan Ayer Hitam di dalam perjalanan balik nanti.

Kami bertolak dari Pelabuhan Kukup pada jam 10.00 pagi dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 10.00 malam. Daripada lawatan ini, maka sudah terang lagi tersuluh bahawa Pekan Tanjung Balai, Pulau Karimun Indonesia adalah syurga membeli belah untuk kaum lelaki. Nok gi pulok ni...tunggu pengumuman tarikhnya..

Othman Bakar.






SELAMAT PENGANTIN BARU

Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada dua orang peguam yang baru-baru ini telah menamatkan zaman bujang mereka dengan pasangan masing-masing.

En. Wan Ahmad Faiz Bin Wan Abdullah telah selamat diijabkabulkan dengan Pn. Nik Radiah Binti Nik Ubaidillah pada 06.06.2009.

Pasangan En. Azrulrizal Bin Ibrahim dan Pn. Siti Susazana Binti Haji Ramli pula telah selamat dinikahkan pada 29.05.2009 di negeri Perak Darul Ridzuan.

Semoga berbahagia ke anak cucu dan berkekalan sehingga akhir hayat.

Tahniah dari kami.

p/s : Pesanan dari pihak penaja, Majlis Akikah nanti jangan lupa jemput semua peguam-peguam Terengganu.